Wahai anakku,
Engkau pernah bertanya erti pengorbanan. Apa erti
pengorbanan sebenarnya pada seseorang manusia terutamanya di Hari Raya
Adiladha?
Apakah cukup sekadar menyembelih binatang-binatang ternakan?
Yang dikorbankan itu binatang, apa pula kaitannya dengan pengorbanan manusia?
Wahai anakku,
Aktiviti menyembelih haiwan al-an’am iaitu unta, lembu,
kerbau, biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10
Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) dinamakan Qurban
atau Udhiah.
Ia sebenarnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Antara salah satunya ialah untuk kamu memperingati peristiwa ketaatan Nabi
Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan
anaknya Nabi Ismail a.s.
Wahai anakku,
Dalam aktiviti Qurban, kamu juga dapat menghayati nikmat
bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah. Malah,
kerana banyaknya aktiviti menderma untuk golongan fakir miskin, aktiviti Qurban
ini juga dapat menanamkan rasa kasih sayang antara si kaya dengan si miskin.
Wahai anak kesayanganku, fadhilat yang kamu akan dapat
daripada ibadah korban amat besar. Kamu akan dapat menambah amal kebajikan:
Seperti Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Korban itu
bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Tirmidzi, Ibnu Majah
dan al-Hakim).
Wahai anakku,
Ibadah korban ini juga engkau boleh jadikan sebagai penebus
dosa sepertimana Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada Sayyidatina Fatimah:
"Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan
saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan
bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".(al-Bazzar dan Ibnu Hibban).
Bukan itu sahaja, wahai anak kesayanganku, melalui ibadah
korban ini, kamu juga boleh mendapat tempat yang mulia di sisi Allah di mana
Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan
pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu
jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah
Azza Wajalla."
Diharap penjelasan yang sedikit ini dapat membantumu
menghayati ibadah korban.
"SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA"
No comments:
Post a Comment